Search
  • MRKH Malaysia

Harian Metro 10 Februari 2019

Tabah seorang wanita 'istimewa'


Oleh Suraya Roslan surayaroslan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Dilahirkan tanpa rahim bukan sesuatu yang mudah untuk diterima, lebih-lebih lagi bagi wanita yang mengimpikan mempunyai zuriat sendiri.


Wanita tabah ini antara seorang daripada 5,000 wanita yang dilahirkan tanpa organ reproduksi merangkumi rahim serta ovari sekali gus gagal hamil.


Namun, Nur Syazwani Abdul Rahim atau lebih dikenali dengan nama Wani Ardy, 34, Sindrom Mayer Rokitansky Kuster Hauser (MRKH) yang dihadapinya adalah satu anugerah dan ujian.


Mengikut kajian, setiap satu dalam 5,000 wanita di seluruh dunia menghidap Sindrom MRKH dan keadaan itu memberikan tekanan serta menjejaskan minda golongan itu kerana dianggap wanita tidak sempurna.


Wani belajar untuk reda dengan hakikat itu selain menggunakan kekurangannya sebagai sumber kekuatan diri.


“Sepanjang membesar terutama di penghujung sekolah menengah, saya lihat semua rakan perempuan sudah datang bulan, tapi saya tiada.


“Waktu kelas Pendidikan Jasmani, ketika kami menukar baju di tandas, saya terkejut apabila mendapati ada perbezaan pada tubuh badan saya berbanding rakan perempuan lain.


“Sehinggalah di tingkatan lima, ummi (ibu) akhirnya membawa saya berjumpa pakar sakit puan,” kata anak kedua daripada empat beradik itu.


Dia yang juga penulis buku dan penyanyi serta penggubah lagu berkata, doktor yang melakukan pelbagai pemeriksaan, ujian dan imbasan pada waktu itu tidak menemui rahim dalam tubuhnya.


“Wajah ummi berubah sebaik saja dimaklumkan doktor akan hakikat itu. Saya masih remaja dan belum memahami sepenuhnya, sehinggalah ummi bertanya pada doktor, adakah saya tidak boleh mengandung dan doktor berkenaan mengakuinya.


“Wajah ummi bertukar sedih dan terus memberitahu saya supaya tidak perlu berkahwin dan tinggal saja dengannya sehingga tua,” katanya.


“Hari ini kita sudah ada cara dan teknologi untuk menyelesai masalah ketiadaan vagina atau serviks. Dalam masa beberapa tahun, ia boleh dibentuk sehingga menjadi normal. Cuma masalah ketiadaan rahim saja kita belum ada penyelesaiannya. Teknologi transplan rahim belum ada di Malaysia dan pakar sakit puan masih di peringkat kajian terutama aspek perubatan dan keagamaan (hukum),” katanya.


Katanya, selain gagal hamil dan kesukaran dalam hubungan kelamin, mereka turut mengalami masalah buah pinggang, tulang dan pendengaran.


“Pada usia 30 tahun, saya meletakkan jawatan sebagai pensyarah untuk beri tumpuan terhadap kerja penulisan kreatif dan seni persembahan secara sepenuh masa.


“Saya juga mengasaskan kumpulan sokongan MRKH Malaysia kerana mahu membantu komuniti saya dan tidak mahu ada gadis MRKH di luar sana yang berasa sunyi dan keliru seperti saya dulu. Dari tiga ahli, hari ini sudah hampir 60 orang di Malaysia,” katanya.


Akuinya yang pernah berkahwin selama lapan tahun, dia diamanahkan seorang ‘anak’ bernama Ikhlas yang dibesarkan sejak lahir dan kini berusia enam tahun.


“Saya namakan dia Ikhlas kerana saya berdoa agar dia ikhlas menyayangi saya demi Allah, sebagaimana saya juga ikhlas menyayanginya demi Allah.


“Ikhlas mungkin tidak lahir dari rahim saya, tetapi dia lahir dari hati dan doa saya,” katanya.


Menurutnya, walaupun tidak dapat mengandung dan melahirkan, penghidap MRKH masih boleh menjadi ibu kepada bayi yang tiada rumah dan keluarga.


“Ingin saya tegaskan, memang ramai ibu bapa kepada penghidap MRKH yang tidak mahu anak mereka berkahwin, dengan niat untuk melindungi, tetapi mereka lupa bahawa kami sama saja seperti orang lain. Kami ada keperluan mental dan emosional, keperluan seksual dan sosial, ingin dijaga dan menjaga, ingin disayangi dan menyayangi.


“Solusi ‘tak payah kahwin’ itu sangat salah dan jalan mudah, sebenarnya. Saya selalu nasihatkan ibu bapa kepada penghidap MRKH ini, jangan buat anak rasa kecil dan kurang. Mereka berhak hidup bahagia dan berkeluarga seperti perempuan normal. Kekangan ini boleh menyebabkan tekanan mental kepada penghidap MRKH,” katanya.


Wani berkata, untuk meneruskan kelangsungan hidupnya, dia menulis dan menjual buku bermula 2006, selain membuat persembahan lagu serta puisi di dalam dan luar negara.


“Buku terbaru ini, The Art of Letting Go(d) adalah buku yang keempat, selain enam buah antologi di mana karya saya juga diterbitkan.


“Himpunan memoir pendek ini boleh dibeli dari penerbit Laras 99 dengan harga RM20 melalui WhatsApp talian 017-2644521,” katanya.

7 views0 comments

Recent Posts

See All