top of page

Pasca MOCA Fest 2016 & The Reading Room (Bahagian II)


CATATAN WANI ARDY PASCA MOCA FEST 2016 & THE READING ROOM JAKARTA (BAHAGIAN II)

Sebagai penulis Malaysia yang berketurunan Jawa dan boleh berbahasa Jawa, saya sedikit gusar bila gaya bahasa puisi saya berbau Indonesia. Saya pernah ditempelak orang Malaysia. Bukan satu kali, bukan lima kali.

Saya bukanlah penyajak yang terlalu memikir pandangan orang. Cuma sayang bila isi sesebuah puisi itu tidak sampai ke hati pembaca bukan kerana intinya, tetapi pakaiannya yang dipersoal hingga menjerebu akal.

"Perasan Indo." "Berlagak Jowo."

Sebelum gelombang AADC, Eiffel I'm in Love, sinetron jam tiga melanda, saya sudah membesar berbahasa Jawa rojak dengan adik, kakak, makcik pakcik, dan arwah datuk. Ini tidak "cool" sebagai "budak Subang" jadi saya tidak menunjuk.

Bila dewasa, tiap kali ke Indonesia, saya rasa bebas untuk berbicara dan berpuisi tanpa dihakimi. Language wise, I feel home. Lucunya, bila saya kata saya orang Malaysia, saya tidak dipercayai orang Indonesia pula.

"Bohong ah." "Yang benar?!"

Atas pentas saya jelaskan bahawa nenek moyang saya orang Salatiga. Eh, barulah tiba-tiba audiens di MOCA Fest Jakarta tadi bersorak. Prejudis hilang.

Sebenarnya kita maklum bahawa kita serumpun. Di Malaysia ada berjuta orang seperti saya, yang keluarganya dari seberang. Jadi kenapa saya takut dengan cebikan "perasan Indo" / "berlagak Jowo" ?

Teman seperjuangan saya, Mosyuki Borhan, juga sering disindir begini. Kami sama-sama cuba menahan diri. Menahan diri dari menulis dengan gaya bahasa yang berbau asal-usul kami. Tapi kadangkala tidak mudah. Kerana puisi itu wilayah yang jujur. Puisi itu rumah kami.

Susah... kalau bersendirian dalam bilik pun harus malu-malu, tipu-tipu.

Untuk Yang Telah Pergi adalah buah fikiran Mosyuki di mana saya memberanikan diri untuk pejam mata dan luah saja, kali ini bukan sekadar dari sudut batin, tapi juga zahir.

"Kita ikut suara dalam kepala kita - bahasa apa pun ia."

Mungkin lebih selamat untuk saya katakan bahawa saya bukan orang bahasa. Saya orang cerita. Label-label begini tidak penting. Yang penting kita terus berkarya. Bahasa pada saya adalah jambatan yang membawa pembaca ke taman utama. Dan taman utama itu adalah jiwa.


Recent Posts
Archive
bottom of page