top of page

160116

Anak-anak cilik menuruni gelongsor, kejar-mengejar mengelilingi taman permainan sebuah restoran makanan segera yang masyhur. Gadis menongkat dagu di meja, ralit melihat anak-anak itu bercanda. Kek coklat kecil yang dibelinya belum bermakan, malah ia duduk saja berhadapan. Termenung Gadis merenung kek itu. Entah kenapa dibelinya walhal selera juga tiada.

Langit mulai jingga. Pinggang mulai lenguh.

Gadis mengimbas jam tangan, sebelum melepas sehela keluhan. Dipandangnya kiri kanan, sebelum berkeputusan untuk mengalah akhirnya dan berangkat menuju ke kereta.

Aduh. Minyak kering.

Mujur tidak jauh ada sebuah stesen minyak buat mengisi tangki yang kian gering.

Baru saja Gadis turun, dia terus didatangi seorang budak perempuan sekitar umur 10 tahun. Tubuhnya kecil, bertudung comel.

"Kak. Derma untuk sekolah saya, kak?" tanya budak perempuan itu sambil menunjukkan sekeping sijil terang-terangan palsu.

Perlahan Gadis melutut agar tingginya separa kanak-kanak itu. Dilihat mata bundarnya sayu. Bukan Gadis tidak mahu menyumbang ringgit, cuma dia sudah terlalu maklum akan isu sindiket. Wang itu bakal dirampas si kepala dalang manakala si genit ini terus dihamba malang.

"Kakak bagi makan, boleh?" soal Gadis.

Si genit tidak membalas.

Gadis mengambil kek coklat yang dibeli di restoran tadi dan dihulurkannya pada si genit.

"Nah."

Si genit tidak mengambil.

"Ambillah."

Si genit masih tidak mengambil. Sepertinya dia tidak biasa mengambil barang percuma, atau ditegah daripada mengambil barang percuma.

"Ok. Gini. Kakak bagi kek coklat ni, adik tolong doakan kawan kakak, boleh?"

Dahi si genit berkerut. Sudahlah tak ditolong, diminta tolong pula-- begitulah fikirnya barangkali.

"Ok."

"Adik tolong doakan kawan kakak panjang umur, murah rezeki, sihat selalu. Boleh?"

Si genit terdiam sebentar.

"Kawan kakak sakit?"

"Tak. Hari ni hari jadi dia."

"Kek ni... dia punya?"

"Dia tak datang."

"Oh... dia tak kisah saya ambil kek ni?"

"Tak. Dia baik. Kalau dia ada sekarang ni pun mesti dia bagi juga."

"Kalau dia baik, kenapa dia tak datang?"

Gadis terdiam. Sungguhlah. Kanak-kanak bila berbicara, mereka berani berkata apa saja yang terlintas di benak fikiran. Kadangkala perkara yang tidak mampu untuk kita jawab jelaskan.

"Dia tak tahu pun kakak tunggu."

Dahi si genit tambah kerut. Percubaan memahami dunia dewasa yang sarat keliru dan karut.

Gadis tertawa kecil.

"Jom, dik. Kita pergi kedai. Anggap hari ni hari jadi adik. Adik boleh ambil apa saja adik nak."

"Ha???" si genit terbeliak dan terlopong. Belum sempat aku doakan orang murah rezeki, aku pula yang duluan murah rezeki-- begitulah fikirnya barangkali.

Gadis menarik tangan si genit menuju ke kedai stesen minyak yang penuh dengan makanan dan minuman, mainan warna-warni serta barangan serba-serbi. Pada tarikh 16 Januari, dibibir kedua-duanya terlukis senyuman lebar buat pertama kali.


Comentarios


Recent Posts
Archive
bottom of page