top of page

Imam Buat Apa Bila Surau/Masjid Ditutup?

Ayah saya seorang imam. Bila perintah kawalan pergerakan diumumkan, reaksi pertama ayah berbunyi-- "mulai subuh esok, ayah terpaksa solat fardhu di rumah." Ada nada sedih terutama pada perkataan "terpaksa" tu. Tapi ayah sambung-- "peluang berjemaah dengan anak-anak, insyaallah."


Jadi imam buat apa bila surau/masjid ditutup? Jawapan: Imam jadi imam. Imam tetap jadi imam.


ALLAH TARIK NIKMAT & RAHMAT TERBESAR


Ayah kata, bila Allah uji kita dengan menurunkan wabak penyakit, sampai solat Jumaat dah tak boleh, solat fardhu di surau/masjid pun dah tak boleh, itu tandanya Allah dah tarik antara nikmat dan rahmat terbesar dalam hidup kita manusia. Iaitu nikmat dan rahmat solat berjemaah di rumah Allah. Islam adalah agama bermasyarakat. Jadi macam mana nak kembalikan nikmat dan rahmat ni? Dengan menjadi imam di rumah sendiri. Dengan merumah-Allah-kan rumah sendiri. Ayah pesan, sekarang ni, yang kita betul-betul ada adalah rumah kita. We only have our homes now. Our shelter. It's time to return the love and light into our homes.


NOW EVERYONE CAN IMAM


Ayah pesan, rugi ada rumah kalau tak berjemaah. Kesian rumah tak merasa rahmah. Bukan imam surau/masjid saja boleh jadi imam. Semua orang boleh jadi imam. Berdua pun boleh 'dating' atas sejadah. Ayah punya syok jadi imam sampai dia pasang mikrofon dan pembesar suara di ruang solat rumah. Hari ni hari kedua perintah kawalan pergerakan. 5 kali sehari ayah azan sambil pegang mikrofon. Bergema satu rumah. Jiran pun dengar agaknya. Ayah ajak anak saya Ikhlas iqamat guna mikrofon. (Memang Ikhlas biasa iqamat bila kami berjemaah.) Tapi sebab ada mikrofon, Ikhlas segan. Ayah pujuk jangan segan, azan tu adalah panggilan. Lagi ramai orang dengar, lagi banyak pahala dapat. Terus Ikhlas pegang mikrofon dan mula iqamat.


RAHMAH = MERCY, GRACE, COMPASSION


Pesan ayah, jangan fokus pada 'kehilangan' surau/masjid di kawasan perumahan kita. Fokus pada macam mana nak suraukan rumah kita sendiri. Kalau tiap rumah solat berjemaah macam di surau, instead of losing one surau- we're actually creating another one hundred 'suraus' through our homes. Imagine His mercy showering homes and families throughout our country at difficult times like these.


QUNUT NAZILAH TIAP SOLAT FARDHU


Ayah ajar, di musim wabak ni, tiap kali solat fardhu, amalkan baca do'a qunut nazilah di raka'at terakhir. (Boleh google do'a qunut nazilah kalau tak tahu. Saya pun baru tahu.) Kalau susah nak hafal (sebab baru belajar, kan), baca do'a qunut biasa pun boleh. Sangat baik untuk kita amal di waktu-waktu yang diuji. (Boleh google terjemahan do'a qunut kalau nak tahu maknanya. Saya pun baru teliti semula.)


Semoga perkongsian saya bermanfaat. Ayah saya ni memang kerap berpesan. Bukan sebab dia imam surau. Tapi sebab dia tahu anak-anaknya 'hantu'. (Juaranya sayalah tu.) Yang biasa baca tulisan saya, mungkin perasan saya suka kongsi pesanan ayah. Sebab tiap kali ayah berpesan, saya mesti tertanya dalam hati; berapa lama lagi saya ada ayah. Saya tak nak tunggu ayah dah tak ada baru saya nak sebar pesanan dia. (ok Wani tahan sebak)


Happy relearning & remaking homes, everyone.


Recent Posts
Archive
bottom of page