Perempuan Penyambil
Perempuan Penyambil
Untuk perempuan yang sedang mengulangkaji sambil makan gaji demi mendukung abah dan ummi.
Untuk perempuan yang belum melanjut pelajaran sambil tertunggak impian demi menongkat orang kesakitan.
Untuk perempuan yang mencari cabang rezeki dua tiga empat lima sambil adik-adiknya dibela.
Untuk perempuan yang 3-5 jam pejam celik sebelum subuh sambil serumah dibasuh sekeluarga diasuh.
Untuk perempuan yang belum ketemu calon buat pernikahan sambil terus menawar tangan kaki telinga bahu buat teman-teman.
Untuk perempuan yang lama berdua berhabis segala sambil senyum menjawab dari bibir yang tidak merasa.
Untuk perempuan yang kehilangan atau kepisahan sambil seorang mengurus cantik amanah Tuhan.
Untuk perempuan yang mendidik, mengubat, berkarya ke masyarakat sekalian sambil diri sendiri perlu perawatan.
Untuk perempuan yang dihantui murung dan masa lalu sambil berjuang membuka jendela dan pintu.
Untuk perempuan yang gigih membina empayar sambil tukul gergajinya jauh lebih besar.
Untuk perempuan yang mencuci tandas mengolek sampah sambil harta karun dikongsi yang lebih payah.
Untuk perempuan yang kurang sihat sambil sinar semangat masih memekat.
Untuk perempuan yang penakut sambil cengeng sambil panjat gunung sambil keliling dunia sambil akhirnya melakukan apa dia suka sambil persetan semua sambil perisau juga.
Untuk perempuan yang sentiasa menyambil tanpa sempadan
kerana hatinya adalah sebuah desa permai yang terlalu luas untuk didiami satu penduduk sahaja
kerana jiwanya adalah seekor kucing manja yang terlalu degil untuk berkorban satu kali sahaja.
Untuk perempuan yang sebagai penyambil dia diangkatkan.
Wani Ardy
Ipoh