top of page

Temubual: Astro Gempak & Wani Ardy

1. Senaraikan 5 perkara yang orang tidak tahu tentang anda? (E.g. favourite food, favourite drinks, phobia, bad memories, cats, hobbies, darkest secret, etc.)


(1) Saya alergik terhadap kucing, kopi, dan nenas. Saya fobia terhadap ketinggian, pistol, dan belon.


(2) Kuota pengambilan nasi saya adalah 1-2 kali saja dalam seminggu. Jika lebih daripada ini, perut saya akan 'jatuh sakit'.


(3) 23 tahun - pensyarah di IPT. 30 tahun - pengasas MRKH Malaysia. 33 tahun - karyawan sepenuh masa. *Sindrom MRKH ialah abnormaliti yang terjadi kepada 1 dalam setiap 5000 perempuan seluruh dunia di mana penghidap dilahirkan tanpa rahim dan/atau tanpa vagina, mengakibatkan pelbagai komplikasi lain yang melibatkan buah pinggang, tulang, dan pendengaran, lalu mempengaruhi kesihatan mental dan fizikal penghidap MRKH.


(4) Aktiviti luar kegemaran saya ialah 'caving' (meneroka gua) dan 'picking' (mencari 'harta karun' di kawasan pelupusan sampah, pusat kitar semula, & kedai barangan terpakai).


(5) Saya perempuan Jawa; saya suka makanan pedas dan tak suka cuaca sejuk. Rumah-syurga saya adalah Asia Tenggara dan saya mahu mengembara ke semua negaranya, berpentas di mana-mana yang terdaya. Insya-Allah.

2. Bilakah waktu dan tempat terbaik untuk mengarang/menulis?


Sejak saya berhenti makan gaji dan bekerja sendiri, saya dah tak ada 'zon produktif' yang spesifik seperti dulu lagi. Mungkin kerana stress semakin berkurangan. Alhamdulillah, setakat ini saya boleh menulis di mana-mana dan bila-bila selagi Tuhan mengizinkannya.


3. Karya terbaharu dari anda?


'Hujan Bakawali di Rumah Tuhan', sebuah antologi. 'Orang Kecil di Lampu Jalan', sebuah himpunan prosa dan puisi. 'Raskat', sebuah album muzik berisi 10 buah lagu. Mohon jangan tanya bila semua ini akan siap/terbit...


4. Siapa inspirasi anda?


Kebelakangan ini, saya selalu mendapat inspirasi dari berita-berita terkini dan isu-isu semasa yang saya baca di internet dan akhbar. Saya paling mudah terkesan jika perkara atau cerita itu membabitkan bayi dan kanak-kanak. Memang kelemahan saya. Saya akan terus menulis dengan penuh serius dan emosi.


5. Anda sendiri baca tak karya orang lain? Siapa, karya apa, dan kenapa?


Mesti! Seorang penulis tak boleh syok sendiri. Prinsip saya; baca, tulis, dan tulis semula (read, write, and rewrite). Ada ramai penulis yang karyanya saya minat dan ikuti tapi buat masa ini, entah kenapa, saya cenderung membaca buku cerita kanak-kanak (Louisa May Alcott) dan buku cerita hantu sebenar (Russell Lee). Walhal tulisan mereka saya dah baca zaman sekolah dulu. Mungkin saya mahu kembali ke keseronokan membaca zaman itu.


7. Apakah karya paling susah pernah buat dan kenapa?


Buku 'Orang Kecil di Lampu Jalan' dan album muzik 'Raskat'. Saya adalah penulis yang paling tidak sistematik dan tulisan saya bersepah sana-sini. Jadi bila dihimpunkan semuanya untuk menjadi sebuah manuskrip, proses itu memakan masa dan fokus. Begitu juga album muzik saya; ahli kumpulan saya bersepah sana-sini dan ada komitmen/karier masing-masing. Mencabar sungguh nak berkumpul-bertapa di studio! Saya perlukan pengurus, sebenarnya...


8. Sebagai seorang penulis akan ada pembaca yang suka dan tidak suka. Pernah berdepan kecaman esktrim? Bagaimana bentuk kecaman itu dan bagaimana anda tangani?

Kecaman ekstrim itu mungkin tidaklah, tapi saya sudah terima pelbagai jenis kritikan dari hal pemakaian hinggalah ke hal peribadi. Saya biarkan dan anggap semua itu lucu saja kerana di mata umum, saya sepatutnya adalah seorang karyawan. Tumpuan patut diberikan kepada karya saya. Saya selalu cuba ingat pesan ayah: "Kita kena faham orang yang tak faham kita." Jadi saya buat saja kerja saya; berkarya. Label-melabel bukan kerja saya tapi pengkritik. Kalau orang suka, alhamdulillah. Kalau orang tak suka, alhamdulillah juga, bukan semua orang ada peluang untuk menulis dan berkongsi.


9. Ada perancangan lain selain bidang penulisan yang anda minat untuk ceburi?


Sebelum prosa dan puisi, saya menulis lirik dahulu. Sebelum penulisan kreatif, cinta pertama saya adalah muzik. Saya bawa lagu-lagu gubahan saya bermula tahun 2002 dan kini masih berpentas bersama kugiran saya yang bernama WIDYA (dulunya dikenali sebagai Wani Ardy & the Guitar Polygamy). Tahun lepas kami berkesempatan mewakili Malaysia di Festival Cipta Cita (Singapura) dan MOCA Festival (Indonesia). Muzik adalah sebahagian besar diri/hidup saya selain penulisan. Saya juga teringin nak memiliki 'vintage boutique' sendiri. Itulah, rajin sangat 'picking' sampai kena buka kedai untuk jual 'harta karun' yang saya dah kutip sana-sini...


Recent Posts
Archive
bottom of page