Hujan Bakawali Di Rumah Tuhan: Latar Cerita
Waktu Mosyuki Borhan asaskan Rumah Ripta, saya dengan tak malunya menawar diri jadi rakan kongsi walaupun saya tak ada duit nak dibagi. Saya tahu Mosyuki Borhan jenis suka bermimpi yang bukan-bukan, jadi saya nak tumpang pedati angannya itu, sebab saya pun boleh tahan kuat berangan.
Mosyuki Borhan dalampada tak kayanya dia, dia sanggup cari duit sana-sini, labur beribu ringgit ke idea-idea kami, idea-idea saya. Dia tabah dengan kerenah saya dan percaya kredibiliti kepengarangan saya, termasuk dimasa-masa yang saya rasa saya paling loser.
Walaupun Rumah Ripta cuma rumah penerbitan kecil, setahun cuma mampu terbit buku sekutil, tapi kecerewetan kami berdua menjaga kualiti tiap satunya. Terutama yang ini. Tidur, sakit, semua kami tolak tepi. 10 tahun lepas kami tak terfikir kami mampu menerbitkan buku sendiri, apalagi dengan isi dan rupa seindah HBRT.
Menerbit buku bukan kerja microsoft word - print kedai - jual online. Orang gila saja yang masih mahu membaca, menulis, dan menjual puisi dikala manusia hanya mahu membayar beras dan bil. Orang gila saja gamaknya, yang penuh mimpi dan cinta, seperti kami di Rumah Ripta.