TENTANG REZEKI, UJIAN, RENDAH DIRI, DAN IKHLAS
Kadang-kadang kita lupa, rezeki juga adalah satu bentuk ujian. Dan rezeki ini tak perlu banyak pun untuk ianya menjadi ujian.
Dapat kerja gaji 5-6 ribu ringgit, dah cukup untuk buat manusia rasa dirinya lebih sikit daripada orang lain.
Dapat kontrak/projek dengan syarikat ternama, dah cukup untuk buat manusia rasa dirinya atas sikit daripada orang lain.
Ujian.
Ada banyak sikit ilmu agama -- nak 'sekolahkan' orang lain atau nak tahan? Nak uji ilmu agama orang lain atau nak tahan?
Ada banyak pengalaman hidup yang hebat/dahsyat -- nak cerita semua atau nak tahan? Nak 'humble brag' atau nak tahan?
Sebenarnya kesusahan-kesusahan semalam juga boleh jadi ujian hari ini.
Adakah pengalaman kesusahan itu akan jadi pedoman untuk diri sendiri atau modal untuk dicanang sana-sini?
Tuhan tak perlu beri banyak pun untuk manusia berlagak. Bagi susah hari ini, senang esok - manusia kata: "Lihat bagaimana aku seorang diri berjaya mengharungi segalanya." Bagi senang hari ini, susah esok - manusia kata: "Awal-awal lagi aku dah rasa dulu semuanya."
Rendah diri adalah benda yang paling payah nak buat, tapi paling senang nak cakap.
"Saya pendiam, saya jenis mendengar." "Saya bodoh, saya jenis belajar."
Tolong tapi ungkit. Sedekah tapi sebut.
Mencabarnya nak jadi 'bersih'... kan.
Saya beri nama anak saya Ikhlas sebab saya selalu lupa definisi sebenar perkataan ikhlas. Buat sesuatu sebab nakkan keredhaan Allah. Bersih. Bukan sebab "tak harap apa-apa". Bukan sebab "hati kena baik". Bukan sebab "tak berkira". Bukan sebab "segan" atau "jaga imej". Saya kerap lupa perkara ini.
Semoga kita selalu ingat. Sebab Tuhan selalu tahu. Niat dan laku. Niat dan laku.
He knows best.