Seratus Seribu

Tak perlu Face App untuk buktikan bahawa bonda sedang menua, Ikhlas. Tengoklah kedut di kulit bonda. Tiap garis adalah marah dan sayang bonda pada Ikhlas. Marah sebab sayang dan sayang kerana Allah. Ikhlas dapat nombor dua hari ni di hari sukan sekolah, tapi Ikhlas tetap pemecut nombor satu di negara hati bonda. Tak perlu bonda pujuk Ikhlas, Ikhlas dah tenang dulu. "Ikhlas bukan nak menang pun. Menang tu tak penting." (Sedapkan hati sendiri?) Momen paling berharga ialah bila bonda ajak selfie, Ikhlas terus peluk bonda. Kawan-kawan di sekeliling gelakkan Ikhlas sebab manja, tapi Ikhlas pandang mereka dengan "huh!" kemudian Ikhlas cium pula bonda. Kawan-kawan sorak "euwwww!" tapi hati bonda dah berbunga-bunga. Terima kasih sebab tak malu untuk sayang bonda. Untuk Ikhlas, bonda sanggup menua seratus tahun lagi dan berkedut seribu garis lagi.


Recent Posts