Kecukupan
Sejak kebelakangan ini, persoalan kecukupan sering berlegar di sekeliling saya.
Seorang kawan saya kata, persoalan kecukupan ini adalah isu peribadi. Jika kita merasa tidak cukup, itu bukan masalah orang lain tapi masalah kita sendiri. Kata-katanya membuatkan saya berfikir dan bersetuju. Bercinta, berkahwin, beranak tidak mencukupkan kita. Bekerja, bergaji, berharta tidak mencukupkan kita. Yang mencukupkan kita adalah rasa syukur dalam diri sendiri. Jika kita meletak kecukupan pada objek atau orang, kita tidak akan merasa cukup sampai bila-bila, kerana objek boleh rosak, dan orang boleh hilang.
Seorang lagi kawan saya pesan, bila kita berdoa pada Tuhan, berdoalah minta kita dicukupkan. Cukupkanlah diri kita untuk orang-orang yang kita sayang, dan cukupkanlah orang-orang yang kita sayang untuk diri kita. Allahu. Saya belum pernah terfikir untuk berdoa begini. Saya terus mengaplikasi. Kerana antara ketakutan terbesar saya dalam hidup ialah menjadi tidak cukup untuk orang-orang yang saya cintai.
Tadi sebelum tidur, seperti biasa saya bacakan buku pada Ikhlas. Dan seperti biasa juga, Ikhlas memilih kisah nabi. Dipendekkan cerita: Nabi Muhammad SAW and the gang tengah duk sibuk buat kubu, sebab orang Yahudi dengan Quraisy dah kepung Madinah. Bergotong-royong korek tanah bawah terik matahari, confirmlah letih dan lapar. Sayangnya makanan tak ada, mereka terpaksa ikat perut. Datang sorang brother ni, Jabir namanya, dia kesian tengok Nabi Muhammad SAW and the gang membanting tulang. Dia balik rumah tanya wifey: "Yang, kita ada food dak?" Wifey jawab: "Ada lah kambing sekor, biji gandum sikit." Jabir fikir, jadilah tu. Dia pun masak. Roti dengan gulai kambing. Dah siap, dia panggil Nabi Muhammad SAW and the gang mai makan. Seronoklah depa. Nabi tanya: "Alhamdulillah, banyak ke foodnya? Harap banyaklah..." Jabir gamble ja angkut sebatalion mai rumah. Wifey pujuk: "Insyaallah, b. Chill ja." Then guess what? Sebatalion tu makan tak habis-habis. Dah kenyang pun lauk kat dapur tak luak langsung. Jabir and wifey terkejut. Tapi begitulah. Kalau Allah Ta'ala kata cukup, maka cukuplah. Dia akan cukupkan apa yang perlu kecukupan. Dia paling tahu. Dan itu sudah cukup.