Menjadi Pasangan Yang Sensitif Terhadap Isu Yang Sensitif
Syukur alhamdulillah, setelah naik-turun sana-sini menyebar kesedaran pada masyarakat tentang DSD (differences in sexual development = kelainan pada perkembangan seksual) dan sindrom MRKH (lahir tanpa rahim, tanpa laluan faraj, serta pelbagai implikasi berkaitan), kesedaran di kalangan keluarga penghidap MRKH juga makin meningkat.
Dulu saya selalu terima kes keluarga malu, keluarga arahkan penghidap merahsiakan keadaan, keluarga mendiskriminasi, keluarga memulaukan penghidap, dan sebagainya. Kes-kes begini biasa saya terima.
Tapi sejak kebelakangan ini, dengan sindrom MRKH sudah mula dikenali ramai, lain pula kes-kes yang saya terima. Termasuk yang paling baru saya terima siang tadi, dah ada 3 kes yang isunya sama, lalu menggerakkan hati saya untuk berkongsi hari ini. Isu ini kurang popular, tapi tak kurang penting.
THE TROPHY WIFE ISSUE
Naratif:
Isteri MRKH. Suami menerima. MRKH mula dikenali. Suami berasa bangga. Isteri dilihat sebagai unik. Suami dilihat sebagai hero.
Ke mana-mana, tuan suami yang bangga tadi memperkenalkan isteri pada kawan-kawan sebagai "wanita tanpa rahim" dan dua orang anak mereka sebagai "anak angkat". Niat suami itu murni. Dia bangga dengan kekuatan isterinya dan dia mahu menjadi suami yang menyokong dari belakang.
Apa yang dia tidak tahu, isterinya berasa sangat kurang selesa malah hampir kecil hati tiap kali dia berbuat begitu. Tapi si isteri tidak tahu bagaimana hendak memberitahu suami tanpa menyinggung.
Di sinilah saya dihubungi. Sesi Skype bermula.
Saya tanya si suami, "Bayangkan tuan menghidap ED (erectile dysfunction = mati pucuk = kegagalan alat kelamin = lemah tenaga batin). Okay. Walaupun kesihatan tuan diuji, tuan tetap kuat semangat, hidup bahagia bersama isteri. Tuan terima keadaan tuan, isteri pun terima keadaan tuan. Tiada rahsia. Semuanya positif. Kemudian, isteri perkenalkan tuan pada kawannya sebagai "lelaki ED" dan anak-anak sebagai "anak angkat". Ke sana sini, di depan tuan dan kawan isteri, tuan diperkenalkan sebagai "penghidap ED". Apa perasaan tuan?"
Suami tadi diam.
"Tuan rasa okay?"
"Macam... tak kot."
"Macam tak okay, atau sangat tak okay?"
"Macam sangat tak okay."
"Kenapa macam sangat tak okay?"
"Sebab rasa macam, hal peribadi."
"Walaupun isteri tuan bangga dan suportif?"
"Memanglah. Dia normal. Orang mestilah puji dia sebab sanggup terima saya."
Isteri tunduk. Saya senyum.
"Macam itulah isteri tuan rasa."
"Tapi bukan rahsia pun. Dia tak rahsiakan. Keluarga kami tahu. Kawan-kawan dia semua tahu. Dia beritahu orang. It's not a secret," kata suami lagi.
"Yes, it's not a secret. It's HER story. And it's her story to tell. Not yours. Kalaupun satu dunia tahu keadaan dia, TAK mengubah hakikat bahawa hal peribadi itu milik dia, dan tetap isu sensitif juga."
"Sekejap- saya tak faham. Sebenarnya benda ni kena rahsiakan atau macam mana? Saya keliru."
"Kadang wanita MRKH nak rasa moments of simple, uncomplicated life. Tak perlu beritahu semua orang dia takda rahim atau anak-anaknya bukan anak kandung. Kadang memang ada momen macam tu. Dan ada juga momen yang dia rasa dia perlu beritahu orang. It's up to her to decide. Once she has opened up to people, tuan boleh saja sambung cerita dia. Janji- dia yang mulakan dulu."
Suami senyap dan berfikir. Saya nampak dia cuba untuk faham.
"Beginilah, tuan. Saya yang kerja ke hulu-hilir bercakap tentang sindrom MRKH ke seluruh rakyat Malaysia pun, akan TETAP rasa tak selesa kalau suami saya beritahu kawan dia tentang keadaan saya, DI DEPAN saya. Belakang saya, tak apa. Dia wakil saya. Tapi kalau saya sendiri ada di situ, kan janggal? I should be the one telling MY story- IF I feel like telling. Kan itu hak saya, hal peribadi saya. Ini bukan sakit demam atau pening kepala. Ini MRKH. Sama macam contoh kes ED yang kita bincang tadi. Benda dalaman. Tentu ada adabnya."
"Tapi... niat saya baik. Saya pandang tinggi isteri saya. Saya nak dia tahu tu. Saya nak orang tahu."
Tuan suami memandang isterinya di sebelah.
"Niat yang baik tak menghalalkan cara yang tak sensitif. Tuan tetap boleh pandang tinggi pada dia. Melalui cara tuan layan dia, bercakap dengan dia. Dia tahu hati tuan. Dia tahu tuan baik. Everyone knows that it's noble and courageous of you to accept her. But she is not your trophy. She already has no control over her condition. At least give her control on who-how-when she wants to tell about her condition. It's the least that we can do for her."
Diam lagi.
"Baiklah. Saya minta maaf. Saya ni... tak tahu, sebenarnya. Saya tak terfikir yang dia tak suka."
"Takpa, tuan. Sama-sama belajar. Puan pun tak tahu macam mana nak cakap dengan tuan tanpa salah faham. But it really knocks down her self-esteem."
Isteri masih tunduk membisu.
"Saya mati-mati ingat dia suka bila saya bangga."
"Bangga ada banyak cara, tuan. Bangga senyap-senyap antara tuan puan berdua aje pun, manis juga sebenarnya. Lagi romantik."
Mereka berdua tergelak. Saya lega. Si isteri senyap saja dari tadi. Takut agaknya. Saya lagilah takut. Saya bukan doktor, bukan kaunselor. Saya cuma pengasas kumpulan sokongan MRKH Malaysia.
Mungkin di sinilah pentingnya kesederhanaan. Dalam memperkatakan hal yang sensitif seperti kesihatan seksual dan mental, memang banyak lagi yang perlu saya / kita pelajari. Menjadi keluarga / pasangan yang terlalu kolot dan tradisional pun susah, menjadi keluarga / pasangan yang terlalu terbuka dan moden pun payah. Dengan pihak media juga saya selalu berpesan tentang adab menjaga sensitiviti ini. Adabnya: Peka. Hormat. Seimbang.
Peka. Hormat. Seimbang.
Nota: Pasangan MRKH di atas telah memberi kebenaran pada saya untuk berkongsi catatan ini. Saya panggil mereka "tuan" & "puan/akak" sebab mereka 10-11 tahun lebih tua daripada saya. <3